Wednesday, August 2, 2017

Situasi: Eskalator - Antara Prihatin Dan Menghalang Laluan Orang


SITUASI

Hari hujung minggu memang hari yang sentiasa ditunggu-tunggu orang ramai untuk pelbagai program dan aktiviti selain hal kerja. Walaubagaimanapun, ketika sedang menuruni eskalator (sejenis alat pengangkutan bermotor yang berfungsi sebagai tangga bergerak untuk memudahkan orang ramai turun atau naik dalam sesuatu bangunan dengan lebih tersusun dan selamat) di sebuah kompleks membeli belah di Kuala Lumpur, terdapat satu keluarga yang terdiri daripada kira 4 atau 5 orang dewasa sedang sibuk berbincang, mungkin sedang menetapkan kedai mana yang hendak dituju. Tetapi apa yang berlaku ketika sudah sampai di penghujung eskalator di bawah, perbincangan mereka masih belum tamat dan mereka terus asyik bercakap sambil berdiri di bahagian bawah di penghujung eskalator yang terus menyebabkan kesesakan tiba-tiba disitu.

PANDANGAN

Tidak pasti apa sebenarnya yang mengganggu kepala otak mereka sekeluarga ini, tetapi sekurang-kurangnya apabila sesudah sampai di penghujung eskalator, berjalan dan beredarlah dengan segera dan carilah tempat yang lebih luas dan selesa untuk meneruskan perbincangan mereka biarpun sampai larut malam sekalipun kerana anda tidak akan menyusahkan sesiapa. Tetapi jika terus tercegat di penghujung eskalator sampai mengakibatkan kesesakan di penghujung eskalator, ia sebenarnya boleh dikategorikan sebagai isu keselamatan. Bayangkan jika sedang anda tercegat dan sibuk berbual di penghujung eskalator (tidak kira di tingkat atas atau bawah) tanpa beredar dengan cepat, ia boleh mengundang bahaya khususnya pada orang lain di belakang anda yang sedang menuruni / menaiki eskalator.

Contoh 1:

Jika orang di belakang anda terdapat seorang wanita yang sedang mendukung bayi kecil sambil sebelah tangan lagi memegang beg keperluan bayi ataupun beg tangan, maka kebarangkalian untuk wanita ini hilang kestabilan dan jatuh adalah tinggi dan amat bahaya untuk si bayi.

Contoh 2:

Jika orang di belakang anda terdapat seorang warga emas di eskalator sambil memegang tongkat, walaupun sebelah tangan lagi memegang eskalator, tetapi jika anda menghalang laluan di penghujung eskalator disebabkan perbualan anda tanpa sebarang perasaan prihatin terhadap orang lain, maka kebarangkalian untuk warga tua ini jatuh adalah tinggi.

Contoh 3:

Jika orang di belakang anda terdapat seorang wanita cantik bergaya dan berkasut bertumit tinggi sampai 15 sentimeter sedang memegang kira-kira 10 beg membeli-belah, kebarangkalian untuk wanita cantik ini hilang kestabilan dan jatuh dalam keadaan agak lucu dan mengaibkan beliau adalah tinggi.

Contoh 4:

Bagaimana pula jika orang di belakang anda terdapat seorang wanita atau lelaki yang juga kurang prihatin dan sedang memegang ‘baby stroller’ (sejenis kereta kecil beroda tanpa enjin untuk digunakan secara ditolak / ditarik oleh ibubapa dengan meletakkan anak bayi mereka dan juga keperluan bayi) di atas eskalator tersebut, kebarangkalian untuk ibubapa, bayi dan anda sendiri yang sedang menghalang laluan untuk terlibat dalam kemalangan, juga adalah tinggi. (Nota: Menolak baby stroller di atas eskalator adalah berbahaya!)

Oleh yang demikian, wujudkan perasaan prihatin terhadap orang lain dan persekitaran anda kerana tindakan murni tersebut berpotensi untuk menyelamatkan diri anda sendiri dan juga orang lain dari terlibat dengan sebarang insiden kemalangan, malah ia mungkin menyelamatkan nyawa!




No comments:

Post a Comment