Wednesday, October 5, 2016

Situasi: Antara RM3.3b dengan Gaji Bulanan Kita

SITUASI

Diberitakan seorang pegawai kanan kerajaan negeri di wilayah Borneo telah terkantoi dengan penemuan wang tunai sebanyak RM50 juta dalam rumahnya dan diberitakan juga memiliki nilai kekayaan sebanyak RM3.3 bilion. Fuh..

PANDANGAN

Adakah ini satu berita yang mengejutkan negara? Semestinya tidak kerana di Malaysia, ramai pemimpin khususnya dari pihak kerajaan persekutuan memang memiliki sikap mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk kepentingan sendiri dan keluarga. Mereka-mereka ini tanpa menghiraukan langsung perasaan bersalah semestinya akan meng'ghaib'kan wang-wang tersebut dengan pelbagai cara samada secara langsung, secara tidak langsung, secara profesional, secara tidak profesional, secara terhormat, secara terkeji, secara terang, secara gelap, secara atas meja, secara bawah meja, secara halal, secara haram dan berbagai-bagai cara lagi yang mungkin terfikir dan tidak terfikir oleh akal fikiran manusia atau sistem komputer di seluruh cakerawala ini terhadap perbuatan yang secara sopannya dikenali sebagai 'penyelewengan' ini.

Sebelum ini kita telah pun dijamu dengan berbagai-bagai penemuan tentang penyelewengan 1MDB yang melibatkan wang 'ghaib' berjumlah RM2.6 bilion dan kini timbul pula cerita kekayaan RM3.3 bilion nun jauh dari kepulauan Borneo sana. Adakah ini sebagai mesej sindiran dari sesetengah pemimpin jerung kepada rakyat betapa rakyat takkan mampu berbuat apa-apa selain hanya menelan air liur bila melihat jumlah wang 'ghaib' yang sangat besar diumumkan dalam berita dan terus tersenyum macam kerang busuk tanpa perlu berfikir sejenak bahawa anda bekerja membanting tulang dari pagi sampai ke malam setiap hari sepanjang hayat pastinya tidak akan dapat merasa wang hasil titik peluh sendiri walaupun mungkin untuk RM100,000.00? Adakah selepas ini kita akan dikejutkan dengan penemuan baru kekayaan bernilai RM5 bilion atau RM10 bilion atau lebih lagi hasil wang 'ghaib' oleh pemimpin-pemimpin standard jerung ini?

Berikut adalah beberapa senario sebagai analogi untuk membandingkan betapa besar dan peliknya kekayaan pemimpin-pemimpin standard jerung di negara kita:

1. Wang dana sponsor dari Datuk Vida untuk pasukan dan pengurusan bolasepak Kelate 2016 sampai Anuar Musa tersengih-sengih bergambar dalam akhbar sambil meletakkan dua jari beliau di pipi sebagai tanda sokong kepada perniagaan jenama QuPuteh Datuk Vida: baru makan kira-kira RM20 juta

2. Perbelanjaan PETRONAS dalam menguruskan UTP untuk anggaran tempoh masa selama kira-kira 10 tahun: baru mencecah setakat kira-kira RM1 bilion

3. Encik Michael Phelp perenang antarabangsa yang berusaha keras dengan mengabdikan dirinya untuk sukan renang sejak berumur 10 tahun sehingga mengecapi kejayaan mengutip lebih dari 50 pingat emas dalam pelbagai pertandingan antarabangsa dan memberi kebanggaan kepada negera kelahiran beliau dan dihormati oleh pencinta sukan serata dunia: kekayaannya baru mencecah kira-kira RM300 juta

4. Che Ta iaitu seorang makhluk selebriti yang cukup terkenal di kalangan kita yang bersengkang mata siang dan malam melibatkan diri dalam dunia lakonan serta perniagaan: anggaran kekayaan hasil pendapatan statik dari lakonan dan perniagaan untuk jangkamasa tempoh kira-kira sehingga 50 tahun lagi baru mencecah kira-kira RM250 juta

Dengan jumlah-jumlah kekayaan yang disebut dalam beberapa analogi di atas, sewajarnya kita faham betapa pemimpin-pemimpin standard jerung dalam negara kita tersangat kaya dan jangan lupa, bahawa apa jua ke'kantoi'an yang ditemui kini hanyalah seperti plankton di samudera, dan sewajarnya banyak lagi.. Syabas kepada pihak yang meng'kantoi'kan hal ini, cuma berwaspadalah kerana si tukang kira duit juga mampu melakukan susatu bila dah nampak duit banyak2 depan mata.

Friday, March 11, 2016

Situasi: Antara Menghadap Tuhan dan Menghadang Kereta Orang Lain

SITUASI

Salam Jumaat untuk semua. Hari Jumaat adalah hari yang besar dalam Islam kerana ia adalah hari yang dipilih untuk pelbagai peristiwa penting antaranya penciptaan Nabi Adam dan penyingkiran beliau dari syurga, serta peristiwa Israk Mikraj yang ramai ulama' berpendapat berlaku pada hari Jumaat. Malahan juga kejadian Hari Kiamat yang kita tidak tahu jadual sebenarnya jatuh pada hari Jumaat. Besar dan hebatnya Jumaat penghulu segala hari ini.

Di Malaysia, hari Jumaat adalah hari yang sibuk di waktu tengah hari kerana umat Islam akan beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sebagai kewajiban. Pernah satu kejadian telah berlaku pada saya di Masjid Abu Bakar di Mentakab, Pahang pada hari Jumaat untuk urusan solat Jumaat. Sebagai maklumat, masjid ini terletak di atas bukit di tengah2 bandar Mentakab dan masjid tumpuan yang paling hampir seterusmya ialah masjid di Temerloh, Pahang. Sebagaimana biasa ramailah umat Islam pelbagai bangsa akan berpusu-pusu ke masjid untuk solat Jumaat.

Tetapi setelah selesai solat Jumaat, sebagaimana biasa keadaan akan menjadi sesak kerana umat Islam akan ramai-ramai pula keluar serentak dari masjid untuk pulang dan urusan-urusan lain. Apa yang berlaku ialah terdapat sebuah kereta yang tiada pemandu diletak betul-betul di belakang kereta saya dan menyebabkan tidak dapatlah saya mengundurkan kereta untuk pulang. Keadaan ini hanya boleh berakhir jika si pemandu kereta di belakang itu mengalihkan kereta beliau. Adapun, keadaan ini berlanjutan sehingga kira-kira 15 minit.

PANDANGAN

15 minit mungkin terlalu cepat bagi seseorang, tetapi bagi saya pada waktu ini, 15 minit sangatlah lama hanya untuk menunggu si tuan kereta yang meletak kereta beliau di belakang kereka saya untuk mengalihkan kereta dia. Walaupun akhirnya muncullah seorang tua berjanggut yang mengenakan jubah serta berserban datang untuk mengalihkan kereta beliau untuk keluar dari kawasan masjid, soalnya adakah itu satu tindakan yang benar-benar bijak dan Islamik dengan datang lewat ke masjid tetapi sanggup menghadang belakang kereta orang lain MUNGKIN semata-mata untuk cuba mendapatkan ruang tempat duduk di depan disebabkan anda seorang yang berjanggut dan berjubah serta berserban? Maaf kata, tetapi inilah contoh manusia yang mungkin mengambil berat dan menjaga hubungan dengan Tuhan tetapi sangat lalai dalam menjaga hubungan sesama manusia.

Bagi saya, kenapa tidak diletakkan kereta itu jauh sedikit dari masjid dan berjalan dengan ikhlas ke masjid supaya tidak menyusahkan orang lain? Wajarlah bagi kita sebagai umat Islam yang juga seorang Insan lemah sekurang-kurang tidak menyusahkan orang lain dengan perkara-perkara begini kerana sikap tidak menyusahkan orang lain juga adalah sebahagian daripada elemen-elemen yang boleh menilai ketinggian ilmu kita sebagai manusia. Bagi saya, ilmu keperibadian bukan hanya terletak kepada latarbelakang akademik semata-mata tetapi turut sikap kemanusiaan kita sesama manusia lain.

Sesunguhnya memang Tuhan itu Maha Pengampun, tetapi manusia bukan mudah untuk mengampuni. Oleh itu, berwaspadalah dengan segala tindakan harian kita kerana mungkin kita tidak sedar yang kita telah mendapat dosa percuma hanya dengan perkara-perkara seperti kes ini.

Sekadar pandangan saya sahaja.