Friday, March 11, 2016

Situasi: Antara Menghadap Tuhan dan Menghadang Kereta Orang Lain

SITUASI

Salam Jumaat untuk semua. Hari Jumaat adalah hari yang besar dalam Islam kerana ia adalah hari yang dipilih untuk pelbagai peristiwa penting antaranya penciptaan Nabi Adam dan penyingkiran beliau dari syurga, serta peristiwa Israk Mikraj yang ramai ulama' berpendapat berlaku pada hari Jumaat. Malahan juga kejadian Hari Kiamat yang kita tidak tahu jadual sebenarnya jatuh pada hari Jumaat. Besar dan hebatnya Jumaat penghulu segala hari ini.

Di Malaysia, hari Jumaat adalah hari yang sibuk di waktu tengah hari kerana umat Islam akan beramai-ramai ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sebagai kewajiban. Pernah satu kejadian telah berlaku pada saya di Masjid Abu Bakar di Mentakab, Pahang pada hari Jumaat untuk urusan solat Jumaat. Sebagai maklumat, masjid ini terletak di atas bukit di tengah2 bandar Mentakab dan masjid tumpuan yang paling hampir seterusmya ialah masjid di Temerloh, Pahang. Sebagaimana biasa ramailah umat Islam pelbagai bangsa akan berpusu-pusu ke masjid untuk solat Jumaat.

Tetapi setelah selesai solat Jumaat, sebagaimana biasa keadaan akan menjadi sesak kerana umat Islam akan ramai-ramai pula keluar serentak dari masjid untuk pulang dan urusan-urusan lain. Apa yang berlaku ialah terdapat sebuah kereta yang tiada pemandu diletak betul-betul di belakang kereta saya dan menyebabkan tidak dapatlah saya mengundurkan kereta untuk pulang. Keadaan ini hanya boleh berakhir jika si pemandu kereta di belakang itu mengalihkan kereta beliau. Adapun, keadaan ini berlanjutan sehingga kira-kira 15 minit.

PANDANGAN

15 minit mungkin terlalu cepat bagi seseorang, tetapi bagi saya pada waktu ini, 15 minit sangatlah lama hanya untuk menunggu si tuan kereta yang meletak kereta beliau di belakang kereka saya untuk mengalihkan kereta dia. Walaupun akhirnya muncullah seorang tua berjanggut yang mengenakan jubah serta berserban datang untuk mengalihkan kereta beliau untuk keluar dari kawasan masjid, soalnya adakah itu satu tindakan yang benar-benar bijak dan Islamik dengan datang lewat ke masjid tetapi sanggup menghadang belakang kereta orang lain MUNGKIN semata-mata untuk cuba mendapatkan ruang tempat duduk di depan disebabkan anda seorang yang berjanggut dan berjubah serta berserban? Maaf kata, tetapi inilah contoh manusia yang mungkin mengambil berat dan menjaga hubungan dengan Tuhan tetapi sangat lalai dalam menjaga hubungan sesama manusia.

Bagi saya, kenapa tidak diletakkan kereta itu jauh sedikit dari masjid dan berjalan dengan ikhlas ke masjid supaya tidak menyusahkan orang lain? Wajarlah bagi kita sebagai umat Islam yang juga seorang Insan lemah sekurang-kurang tidak menyusahkan orang lain dengan perkara-perkara begini kerana sikap tidak menyusahkan orang lain juga adalah sebahagian daripada elemen-elemen yang boleh menilai ketinggian ilmu kita sebagai manusia. Bagi saya, ilmu keperibadian bukan hanya terletak kepada latarbelakang akademik semata-mata tetapi turut sikap kemanusiaan kita sesama manusia lain.

Sesunguhnya memang Tuhan itu Maha Pengampun, tetapi manusia bukan mudah untuk mengampuni. Oleh itu, berwaspadalah dengan segala tindakan harian kita kerana mungkin kita tidak sedar yang kita telah mendapat dosa percuma hanya dengan perkara-perkara seperti kes ini.

Sekadar pandangan saya sahaja.