Sunday, December 20, 2015

Situasi: Atheis - Antara Percaya Atau Tidak

SITUASI

Golongan atheis secara amnya boleh dirumuskan sebagai satu golongan (tanpa mengira keturunan dan warna kulit) yang skeptikal atau tiada keyakinan berkenaan hal-hal ketuhanan. Walaubagaimanapun, dari hemat saya, ramai dikalangan mereka ini sedang mencari jawapan untuk memuaskan persoalan-persoalan ketuhanan yang asyik bermain di minda mereka. Mereka memandang dunia, manusia, kehidupan atas bumi, langit, planet-planet, serta keseluruhan alam ini dari sudut evolusi saintifik dan mereka seboleh-bolehnya mahu menolak unsur-unsur ghaib dan misteri kerana bagi mereka itu tidak menjelaskan apa-apa secara saintifik. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika golongan atheis bukanlah terdiri daripada orang-orang kebanyakan semata-mata tetapi turut mereka-mereka yang dikurniakan ilmu yang tinggi serta berlatarbelakangkan pendidikan yang tinggi dalam hidup - cuma minda dan hati terus diuji dengan persoalan dan kemusykilan berkenaan ketuhanan. Harus diingat bahawa golongan atheis turut ada di Malaysia dan bilangan mereka dipercayai meningkat ramai. Mereka sangat perlukan jawapan tentang bagaimana Allah SWT itu wujud dengan sendirinya sedangkan secara ilmu saintifk setiap perkara perlu ada pemulanya sehingga kepada terbentuk kehidupan atau kewujudannya.Walaubagaimanapun, terdapat juga dari mereka yang bodoh sombong - sudahlah tidak percaya tuhan, malah turut serta menghina pulak tuhan.

PANDANGAN

Pada pandangan saya, golongan atheis memilih jalan 'percaya untuk tidak percaya' kerana soalan2 ketuhanan yang bagi mereka tidak dapat dibuktikan dengan logik. Walaubagaimanapun, soalnya secara logik akal, jika Tuhan itu wujud sebagai pencipta dan memiliki segala kuasa dan ilmu terhadap segala ciptaanNya termasuklah manusia (termasuklah golongan atheis itu sendiri), bagaimana pula kita yang manusia biasa yang penuh kelemahan dan kekurangan yang diciptakanNya boleh melontarkan soalan kembali kepada Tuhan berkenaan keraguan kita terhadap kewujudanNya? Jika golongan atheis di Malaysia yang sebahagiannya datang dari keluarga ibu bapa Muslim (tetapi ramai yang tidak berani untuk mengumumkan kepada kedua orang tua mereka bahawa mereka adalah atheis atas dasar untuk menjaga hati orang tua mereka kerana tak mahu orang tua rasa kecewa), bagaimana pula mereka boleh berani mempersoalkan kewujudan Tuhan yang dipercayai oleh orang tua mereka? Apakah kesulitan berkenaan ketuhanan ini dibincang secara menyeluruh sekurang-kurangnya dengan orang tua mereka sebelum ini? Bagi saya, ilmu kelogikan akal manusia adalah sangat besar tahap perbezaannya jika dibandingkan dengan ilmu alam ini sendiri (yang kita percaya bahawa ilmu alam yang disediakan Allah SWT adalah seperti lautan terdampar luas sedangkan ilmu logik akal manusia sendiri hanya seperti satu buih lautan di pantai). Apatah lagi ilmu Tuhan itu sendiri yang mencipta alam kan? Jika golongan atheis merasakan bahawa kewujudan Tuhan itu sesuatu yang menjadi persoalan, sekurang2nya kita perlu bertanya pada diri sendiri bagaimana pula kejadian alam semesta dan isi2 nya? Tidakkah mereka pastinya dicipta oleh 'sesuatu' dan bukan terjadi dengan sendirinya seperti yang banyak dinyatakan oleh para saintis Barat dan evolusionari Barat? Bagi saya, ruangan logik akal manusia adalah terlalu kecil dan banyak batasan sehinggakan ilmu misteri UFO pun kita masih banyak tanda tanya, inikan pula ilmu si Tuhan sendiri yang semestinya Pencipta kesemuanya. Bukan sahaja ilmu UFO, malah dengan ketinggian ilmu teknologi logik akal yang paling moden sekalipun hari ini setelah ribuan tahun kehidupan manusia, manusia masih juga belum mampu mencipta apa-apa yang 100% menyerupai kejadian manusia sendiri - kamera yang 100% seperti mata manusia, jantung yang 100% seperti jantung manusia, ataupun robot yang 100% seperti manusia - bagaimana mungkin kita masih mempersoalkan kewujudan Tuhan si Pencipta yang pastinya jauh lebih besar dan agung keajaiban dan kemisteriannya sehingga tak tercapai oleh ilmu sains dan logik akal manusia yang terbatas dengan ruang dan masa di dunia sahaja? Adakah kejadian manusia dan alam masih lagi secara semulajadi sendiri dan bukan diciptakan oleh 'sesuatu'? Jika misteri dan keajaiban UFO (yang pastinya secara logik akal turut dicipta oleh 'sesuatu') dan kawasan aneh Segitiga Bermuda pun masih belum terjawab, apakah manfaatnya golongan atheis perlu mencari jawapan kepada ajaibnya ilmu keghaiban Tuhan yang tunggal yang menjadi boss utama kepada alam ini? Contoh analogi lebih mudah, sedangkan seorang guru silat juga mungkin tidak menurunkan kesemua ilmu persilatan kepada anak didiknya, inikan pula ilmu alam yang dikurniakan Tuhan yang seluas lautan tapi nak dibandingkan dengan sebutir buih di laut oleh golongan atheis? Dengan perkembangan dunia sains, penulisan, kajian, teknologi dan internet, kita didedahkan dengan pelbagai jenis penemuan dan maklumat baru (contohnya berkenaan kejadian alam, asal usul manusia, proses kejadian bayi, pembentukan minyak mentah dalam tanah, pengiraan jangka hayat bumi dan alam dan berbagai-bagai lagi) samada dari sudut pandangan Barat atau pandangan Islam. Jika golongan atheis memilih untuk filosofi 'percaya untuk tidak percaya' mereka berdasarkan kajian-kajian secara saintifik dan dari sudut logik akal semata-mata, pernahkah terfikir oleh golongan atheis ini bahawa sumber-sumber kajian saintifik itu pastinya kebanyakannya dari Barat, tetapi kenapa tidak pula mempersoalkan sejauh mana kebenarannya proses kajian-kajian dan hipotesis dari Barat tersebut? Kenapa tidak pula skeptikal dengan dakwaan proses kejadian manusia berdasarkan teori evolusi Darwin? Kenapa tidak pula ada persoalan tentang sejauh mana benarnya pembentukan minyak mentah dalam tanah adalah berasal dari fosil-fosil dan hidrokarbon semata-mata? Kenapa tiada juga persoalan tentang udara atau angin yang kita sama-sama hirup tetapi tidak kenampakan, tetapi kita boleh pula tetap percaya akan kewujudan udara / angin ini? Kenapa tidak skeptikal terhadap pengiraan matematik untuk mengetahui usia bumi dimana terdapat banyak dakwaan saling bercanggah dari jutaan tahun sehingga ada yang mengatakan ia sebenarnya hanya 9000 tahun? Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi pendapat saya bahawa kebolehan mempercayai kewujudan Tuhan Sekalian Alam sepenuh hati adalah juga satu anugerah ghaib yang sukar dijelaskan, tetapi masih dapat di'rasa'kan oleh seseorang. Tetapi itu bukanlah bermakna golongan atheis sudah tiada langsung harapan lagi. Sebaik-baiknya para atheis yang sedang mencari jawapan, buatlah kajian secara menyeluruh dan adil dari segala aspek samada saintifik dan agama serta bandingkanlah dengan penjelasan dari kacamata Islam (kerana saya menulis atas kapasiti seorang yang beragama iaitu Muslim yang masih perlu terus belajar). Saya merasakan golongan atheis pastinya menghabiskan masa yang banyak untuk mencari jawapan bagi memenuhi persoalan yang mencengkam minda anda dan kita ini sekadar manusia yang hanya terbatas di ruang masa dan dunia ini sahaja. Oleh yang demikian, bagi saya, dari membuang masa mencari jawapan tentang kewujudan tunggal Tuhan yang pastinya tidak terungkai oleh kelogikan akal manusia yang cukup terbatas ini, adalah lebih baik jika kita berlapang dada dan mencari sendiri keredhaan Tuhan sehingga kita sendiri dapat merasa 'kemanisan' dan 'kesedapan' ketika mendapat rahmat Tuhan itu - sekaligus persoalan ketuhanan itu terjawab. Sekali lagi diingatkan, kemanisan dan kesedapan itu pun satu anugerah ghaib yang misteri, hanya yang merasanya sahaja menikmatinya. Inilah pandangan saya. bukanlah untuk menyakiti sesiapa, tetapi sekadar pandangan logik akal saya juga.


Situasi: Antara Kereta Hitam dan Kereta Rakyat Teramai

Rakyat Malaysia secara sejarahnya adalah rakyat yang sangat berhemah tinggi dan sukakan keamanan. Rakyat Malaysia juga secara sejarahnya diajar dan dididik untuk menghormati sesiapa sahaja, dan juga berkait rapat dengan amalam budaya bersopan santun, budaya ketimuran. Bagi hemat saya, ini semua hanyalah pada 'secara sejarahnya', tetapi kini ia tidak begitu lagi. Kerana apa? Kerana kawal selia negara yang semakin lama semakin teruk oleh para pemimpin masakini. Dengan suasana ketirisan yang berleluasa tanpa ada rasa segan silu, dengan masalah hutang negara yang semakin mencanak, dengan masalah moral para remaja (serta juga orang dewasa), dengan masalah kejatuhan merudum ekonomi dan kadar Ringgit, dengan masalah pembaziran tanpa rasa malu para pemimpin, dengan ikatan kebergantungan kepada kuasa luar yang tinggi melalui perjanjian-perjanjian tertentu, dengan masalah keselamatan rakyat secara amnya, dengan masalah itu, masalah ini, masalah.. masalah.. masalah..

Apa yang disebut di atas, umum mengetahuinya dan sebahagian besar dari permasalahan di atas boleh dikatakan disumbangkan oleh sistem kepimpinan yang haprak dalam negara Malaysia kini. Isu-isu di atas mungkin terlalu panjang untuk dibincangkan, oleh yang demikian saya suka untuk menulis tentang sikap pemimpin terhadap rakyat dengan satu contoh yang sangat kecil (malah mungkin akan diketawakan sahaja oleh golongan-golongan pemimpin jenis tersebut serta macai-macainya).

SITUASI

Satu hari di Seremban, saya bangun dari tidur jam 0520 dan seperti biasa bersiap untuk mengenakan pakaian untuk melalui hari ini seperti biasa dengan bekerja di pejabat. Jam 0620 kebiasaannya saya dah hidupkan enjin kereta untuk memulakan perjalanan dari kawasan dalam Seremban ke tengah-tengah kota Kuala Lumpur untuk bekerja. Jam 0630 jalan raya dalam kawasan di Seremban sudah mula banyak kereta atas urusan bekerja, pergi pasar, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Itulah rutin rakyat Malaysia amnya (tidak termasuk golongan VIP atau para pemimpin) dengan kudrat sendiri. Di lebuhraya PLUS menghala ke Kuala Lumpur, seperti biasa ia memang banyak kereta dan laju-laju belaka kerana berusaha untuk mengelakkan kesesakan lalulintas. Selepas tol Sungai Besi, seperti biasa kesesakan mula berlaku dan kebiasaannya ini berlarutan sehinggalah ke tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Sehinggalah di kawasan Sri Petaling, kesesakan benar-benar bertambah teruk dan semuanya bergerak sedikit demi sedikit. Tapi hari ini ada sedikit kelainan iaitu bila dilihat di cermin pandang belakang, kelihatan motor-motor besar warna putih yang ditunggang oleh polis memberi lampu tinggi. Pengumuman amaran kepada orang ramai diberikan supaya supaya ketepi dan beri laluan kepada satu kereta jenama luar yang besar berwarna hitam. Banyangkanlah dengan kesesakan yang teruk sampai laluan kecemasan juga dipenuhi kereta dan motor, bagaimana mungkin betapa mudahnya si polis mengarahkan orang ramai ketepi dan memberi laluan kepada kereta hitam tersebut? Siapakah didalam kereta yang bercermin hitam pekat itu?

PANDANGAN

Jika di dalam kereta hitam tersebut ialah seorang VIP atau pemimpin yang amnya dipilih oleh rakyat, tidakkah beliau punya rasa malu untuk berbuat sedemikian di jalanraya di waktu-waktu puncak sebegini? Terfikirkah di minda manusia di dalam kereta ini bahawa betapa rakyat yang saban hari saban bulan dan saban tahun melalui kepayahan ini dan hidup dalam suasana jiwa  yang semakin sengsara dengan pemaslahatan negara kita sehingga ramai dikalangan rakyat yang jatuh jatidirinya tersembam walaupun itu bukan kehendak mereka? Kesempitan rakyat teramai ini bukanlah dirasai hanya oleh golongan miskin, marhaen, berpendapatan rendah atau para pelajar tetapi sebenarnya oleh kesemua rakyat secara amnya. Golongan berpendapatan sederhana iaitu penyumbang besar kepada pendapatan negara boleh dikatakan amat terkesan dengan mendalam atas situasi ini. Golongan berpendapatan sederhana sehingga ke tinggi inilah yang rutin sebahagian besar hidupnya ialah seperti saya iaitu bangun awal pagi untuk meneruskan hidup sebagai pekerja demi menyara diri dan keluarga dengan melalui jalan yang sama dilalui oleh kereta hitam tersebut di atas. Jihad penghidupan yang dilakukan oleh golongan ini turut menyumbang kepada pendapatan negara melalui sistem cukai berkala dan pelbagai cukai lain lagi yang disalurkan kepada kerajaan yang diharapkan dapat membela nasib negara ini dan rakyat teramai yang terkandung di dalamnya dengan sistem pentadbiran yang sangat berkualiti, adil dan dipercayai. Oleh yang demikian, secara rumusannta rakyatlah yang terpaksa menanggung kesempitan hidup disebabkan kelemahan dalam pentadbiran negara sendiri. Malah hari ini ketika memandu juga rakyat mahu diketepikan untuk memberi laluan? Bukankah itu dikira melampau? Kenapa sebagai pemimpin atau VIP mereka tidak bangun lebih awal untuk mengelakkan dari menyusahkan orang ramai - sekurang2nya menunjukkan kredibiliti dan sifat seorang pemimpin yang VIP yang menghormati rakyat sebagai pemilihnya? Ini baru kisah pagi ini yang menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi 1 jam lebih lewat dari biasa, sebenarnya terlalu banyak peritiwa ini berlaku di negara kita. Sekadar pandangan saya, Jangan melompat ya...

Sunday, January 11, 2015

Situasi: Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 Antara JDT dan Pahang

SITUASI 

Perkara ini berlaku baru-baru ni lagi menjelang penutupan tirai Liga Malaysia bagi tahun 2014 dengan perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 diantara pasukan JDT dan pasukan Pahang. Kali terakhir pasukan Johor memenangi Piala Malaysia yang amat berprestij dalam sukan bolasepak tempatan itu ialah pada tahun 1991,sedangkan Pahang pula tampil sebagai juara bertahan, Inilah dua pasukan bolasepak terbaik negara yang akan menentukan siapa yang akan menjadi juara bagi kejohanan Piala Malaysia untuk tahun 2014. Dengan harapan memuncak para peminat, pemerhati, pengulas dan ahli-ahli sukan bolasepak, adapun pertemuan JDT dengan Pahang menjadi kenyataan setelah masing-masing Pahang mengetepikan Kedah dan JDT mengenepikan Felda United. Oleh yang demikian, perlawanan akhir ini dianggap sebagai pertemuan yang cukup rival malah pelbagai sentimen dimainkan di laman sosial khususnya menyentuh tanah lokasi dua pasukan - Pantai Timur dan Selatan tanahair. Tambahan pula sebelum Felda United, JDT telah menundukkan Terengganu, sebuah lagi pasukan hebat dari pantai timur dimana kemenangan JDT tersebut diraikan oleh TMJ dengan menendang tiang bendera (kebetulan pula tiang bendera itu adalah yang terhampir dengan majoriti penyokong Terengganu di Stadium Larkin ketika itu - terus menyemarakkan lagi komen-komen yang penuh sentimen kenegerian di laman sosial). Inilah masalahnya, iaitu semangat kenegerian yang terlampau yang akhirnya mengundang rasa marah dan sakit hati kepada orang lain walhal punca perasaan tersebut sebenarnya tidak begitu jelas.

PANDANGAN

Berbangga dengan negeri asal-usul kita sebenarnya menjadi perkara yang lumrah bagi manusia. Tetapi berbangga disertai dengan semangat kenegerian yang terlalu melampau sehingga menjerumuskan diri dengan menghina orang lain serta negeri lain adalah tidak patut sama sekali. Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 baru-baru ini menyaksikan betapa semangat kenegerian menjadi sentimen utama. Itu perkara biasa, Tetapi perlukah menghina pihak lawan kita (terutama sekali lawan kita dalam sukan bolasepak) dengan komen-komen yang pedih dan berbentuk provokasi melampau? Sudah tentulah sangat tidak perlu kerana harus diingat bahawa majoriti peminat sukan bolasepak dalam negara ini terdiri dari kalangan Melayu sebagai peratus terbesarnya. Apa agaknya faedahnya jika kita berlagak berani dan berlagak gangster dalam laman sosial dengan mengutuk negeri lain semata-mata untuk sebuah perlawanan bolasepak? Contoh: mengambil gambar memijak bendera negeri pihak lawan, baling batu pada kereta yang bawa bendera pihak lawan dan sebagainya. 

Seharusnya kita beringat bahawa bila dah sama-sama bangsa tu, etinya kita serumpun dan seharusnya tidak bergadoh sesama kita. Ini bukan kenyataan politik tetapi lebih kepada persefahaman sesama manusia khususnya bila sama-sama serumpun. Adalah amat memalukan bila di laman sosial, komen-komen yang dilontarkan lebih berunsur menyakitkan hati sedangkan jika pasukan anda menang sekalipun, anda hanya dapat kepuasan sementara sedangkan bonus kemenangan, tawaran gaji pasukan baru (jika ada), insentif-insentif semuanya akn dinikmati oleh organisasi pasukan, dan bukannya 100% peminat. Malah para pemain sendiri mengharapkan bukan sahaja perlawanan yang berkualiti, tetapi juga sikap matang para peminat ketika di stadium.