Sunday, December 20, 2015

Situasi: Antara Kereta Hitam dan Kereta Rakyat Teramai

Rakyat Malaysia secara sejarahnya adalah rakyat yang sangat berhemah tinggi dan sukakan keamanan. Rakyat Malaysia juga secara sejarahnya diajar dan dididik untuk menghormati sesiapa sahaja, dan juga berkait rapat dengan amalam budaya bersopan santun, budaya ketimuran. Bagi hemat saya, ini semua hanyalah pada 'secara sejarahnya', tetapi kini ia tidak begitu lagi. Kerana apa? Kerana kawal selia negara yang semakin lama semakin teruk oleh para pemimpin masakini. Dengan suasana ketirisan yang berleluasa tanpa ada rasa segan silu, dengan masalah hutang negara yang semakin mencanak, dengan masalah moral para remaja (serta juga orang dewasa), dengan masalah kejatuhan merudum ekonomi dan kadar Ringgit, dengan masalah pembaziran tanpa rasa malu para pemimpin, dengan ikatan kebergantungan kepada kuasa luar yang tinggi melalui perjanjian-perjanjian tertentu, dengan masalah keselamatan rakyat secara amnya, dengan masalah itu, masalah ini, masalah.. masalah.. masalah..

Apa yang disebut di atas, umum mengetahuinya dan sebahagian besar dari permasalahan di atas boleh dikatakan disumbangkan oleh sistem kepimpinan yang haprak dalam negara Malaysia kini. Isu-isu di atas mungkin terlalu panjang untuk dibincangkan, oleh yang demikian saya suka untuk menulis tentang sikap pemimpin terhadap rakyat dengan satu contoh yang sangat kecil (malah mungkin akan diketawakan sahaja oleh golongan-golongan pemimpin jenis tersebut serta macai-macainya).

SITUASI

Satu hari di Seremban, saya bangun dari tidur jam 0520 dan seperti biasa bersiap untuk mengenakan pakaian untuk melalui hari ini seperti biasa dengan bekerja di pejabat. Jam 0620 kebiasaannya saya dah hidupkan enjin kereta untuk memulakan perjalanan dari kawasan dalam Seremban ke tengah-tengah kota Kuala Lumpur untuk bekerja. Jam 0630 jalan raya dalam kawasan di Seremban sudah mula banyak kereta atas urusan bekerja, pergi pasar, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya. Itulah rutin rakyat Malaysia amnya (tidak termasuk golongan VIP atau para pemimpin) dengan kudrat sendiri. Di lebuhraya PLUS menghala ke Kuala Lumpur, seperti biasa ia memang banyak kereta dan laju-laju belaka kerana berusaha untuk mengelakkan kesesakan lalulintas. Selepas tol Sungai Besi, seperti biasa kesesakan mula berlaku dan kebiasaannya ini berlarutan sehinggalah ke tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Sehinggalah di kawasan Sri Petaling, kesesakan benar-benar bertambah teruk dan semuanya bergerak sedikit demi sedikit. Tapi hari ini ada sedikit kelainan iaitu bila dilihat di cermin pandang belakang, kelihatan motor-motor besar warna putih yang ditunggang oleh polis memberi lampu tinggi. Pengumuman amaran kepada orang ramai diberikan supaya supaya ketepi dan beri laluan kepada satu kereta jenama luar yang besar berwarna hitam. Banyangkanlah dengan kesesakan yang teruk sampai laluan kecemasan juga dipenuhi kereta dan motor, bagaimana mungkin betapa mudahnya si polis mengarahkan orang ramai ketepi dan memberi laluan kepada kereta hitam tersebut? Siapakah didalam kereta yang bercermin hitam pekat itu?

PANDANGAN

Jika di dalam kereta hitam tersebut ialah seorang VIP atau pemimpin yang amnya dipilih oleh rakyat, tidakkah beliau punya rasa malu untuk berbuat sedemikian di jalanraya di waktu-waktu puncak sebegini? Terfikirkah di minda manusia di dalam kereta ini bahawa betapa rakyat yang saban hari saban bulan dan saban tahun melalui kepayahan ini dan hidup dalam suasana jiwa  yang semakin sengsara dengan pemaslahatan negara kita sehingga ramai dikalangan rakyat yang jatuh jatidirinya tersembam walaupun itu bukan kehendak mereka? Kesempitan rakyat teramai ini bukanlah dirasai hanya oleh golongan miskin, marhaen, berpendapatan rendah atau para pelajar tetapi sebenarnya oleh kesemua rakyat secara amnya. Golongan berpendapatan sederhana iaitu penyumbang besar kepada pendapatan negara boleh dikatakan amat terkesan dengan mendalam atas situasi ini. Golongan berpendapatan sederhana sehingga ke tinggi inilah yang rutin sebahagian besar hidupnya ialah seperti saya iaitu bangun awal pagi untuk meneruskan hidup sebagai pekerja demi menyara diri dan keluarga dengan melalui jalan yang sama dilalui oleh kereta hitam tersebut di atas. Jihad penghidupan yang dilakukan oleh golongan ini turut menyumbang kepada pendapatan negara melalui sistem cukai berkala dan pelbagai cukai lain lagi yang disalurkan kepada kerajaan yang diharapkan dapat membela nasib negara ini dan rakyat teramai yang terkandung di dalamnya dengan sistem pentadbiran yang sangat berkualiti, adil dan dipercayai. Oleh yang demikian, secara rumusannta rakyatlah yang terpaksa menanggung kesempitan hidup disebabkan kelemahan dalam pentadbiran negara sendiri. Malah hari ini ketika memandu juga rakyat mahu diketepikan untuk memberi laluan? Bukankah itu dikira melampau? Kenapa sebagai pemimpin atau VIP mereka tidak bangun lebih awal untuk mengelakkan dari menyusahkan orang ramai - sekurang2nya menunjukkan kredibiliti dan sifat seorang pemimpin yang VIP yang menghormati rakyat sebagai pemilihnya? Ini baru kisah pagi ini yang menyebabkan kesesakan lalulintas menjadi 1 jam lebih lewat dari biasa, sebenarnya terlalu banyak peritiwa ini berlaku di negara kita. Sekadar pandangan saya, Jangan melompat ya...

No comments:

Post a Comment