Sunday, December 20, 2015

Situasi: Atheis - Antara Percaya Atau Tidak

SITUASI

Golongan atheis secara amnya boleh dirumuskan sebagai satu golongan (tanpa mengira keturunan dan warna kulit) yang skeptikal atau tiada keyakinan berkenaan hal-hal ketuhanan. Walaubagaimanapun, dari hemat saya, ramai dikalangan mereka ini sedang mencari jawapan untuk memuaskan persoalan-persoalan ketuhanan yang asyik bermain di minda mereka. Mereka memandang dunia, manusia, kehidupan atas bumi, langit, planet-planet, serta keseluruhan alam ini dari sudut evolusi saintifik dan mereka seboleh-bolehnya mahu menolak unsur-unsur ghaib dan misteri kerana bagi mereka itu tidak menjelaskan apa-apa secara saintifik. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika golongan atheis bukanlah terdiri daripada orang-orang kebanyakan semata-mata tetapi turut mereka-mereka yang dikurniakan ilmu yang tinggi serta berlatarbelakangkan pendidikan yang tinggi dalam hidup - cuma minda dan hati terus diuji dengan persoalan dan kemusykilan berkenaan ketuhanan. Harus diingat bahawa golongan atheis turut ada di Malaysia dan bilangan mereka dipercayai meningkat ramai. Mereka sangat perlukan jawapan tentang bagaimana Allah SWT itu wujud dengan sendirinya sedangkan secara ilmu saintifk setiap perkara perlu ada pemulanya sehingga kepada terbentuk kehidupan atau kewujudannya.Walaubagaimanapun, terdapat juga dari mereka yang bodoh sombong - sudahlah tidak percaya tuhan, malah turut serta menghina pulak tuhan.

PANDANGAN

Pada pandangan saya, golongan atheis memilih jalan 'percaya untuk tidak percaya' kerana soalan2 ketuhanan yang bagi mereka tidak dapat dibuktikan dengan logik. Walaubagaimanapun, soalnya secara logik akal, jika Tuhan itu wujud sebagai pencipta dan memiliki segala kuasa dan ilmu terhadap segala ciptaanNya termasuklah manusia (termasuklah golongan atheis itu sendiri), bagaimana pula kita yang manusia biasa yang penuh kelemahan dan kekurangan yang diciptakanNya boleh melontarkan soalan kembali kepada Tuhan berkenaan keraguan kita terhadap kewujudanNya? Jika golongan atheis di Malaysia yang sebahagiannya datang dari keluarga ibu bapa Muslim (tetapi ramai yang tidak berani untuk mengumumkan kepada kedua orang tua mereka bahawa mereka adalah atheis atas dasar untuk menjaga hati orang tua mereka kerana tak mahu orang tua rasa kecewa), bagaimana pula mereka boleh berani mempersoalkan kewujudan Tuhan yang dipercayai oleh orang tua mereka? Apakah kesulitan berkenaan ketuhanan ini dibincang secara menyeluruh sekurang-kurangnya dengan orang tua mereka sebelum ini? Bagi saya, ilmu kelogikan akal manusia adalah sangat besar tahap perbezaannya jika dibandingkan dengan ilmu alam ini sendiri (yang kita percaya bahawa ilmu alam yang disediakan Allah SWT adalah seperti lautan terdampar luas sedangkan ilmu logik akal manusia sendiri hanya seperti satu buih lautan di pantai). Apatah lagi ilmu Tuhan itu sendiri yang mencipta alam kan? Jika golongan atheis merasakan bahawa kewujudan Tuhan itu sesuatu yang menjadi persoalan, sekurang2nya kita perlu bertanya pada diri sendiri bagaimana pula kejadian alam semesta dan isi2 nya? Tidakkah mereka pastinya dicipta oleh 'sesuatu' dan bukan terjadi dengan sendirinya seperti yang banyak dinyatakan oleh para saintis Barat dan evolusionari Barat? Bagi saya, ruangan logik akal manusia adalah terlalu kecil dan banyak batasan sehinggakan ilmu misteri UFO pun kita masih banyak tanda tanya, inikan pula ilmu si Tuhan sendiri yang semestinya Pencipta kesemuanya. Bukan sahaja ilmu UFO, malah dengan ketinggian ilmu teknologi logik akal yang paling moden sekalipun hari ini setelah ribuan tahun kehidupan manusia, manusia masih juga belum mampu mencipta apa-apa yang 100% menyerupai kejadian manusia sendiri - kamera yang 100% seperti mata manusia, jantung yang 100% seperti jantung manusia, ataupun robot yang 100% seperti manusia - bagaimana mungkin kita masih mempersoalkan kewujudan Tuhan si Pencipta yang pastinya jauh lebih besar dan agung keajaiban dan kemisteriannya sehingga tak tercapai oleh ilmu sains dan logik akal manusia yang terbatas dengan ruang dan masa di dunia sahaja? Adakah kejadian manusia dan alam masih lagi secara semulajadi sendiri dan bukan diciptakan oleh 'sesuatu'? Jika misteri dan keajaiban UFO (yang pastinya secara logik akal turut dicipta oleh 'sesuatu') dan kawasan aneh Segitiga Bermuda pun masih belum terjawab, apakah manfaatnya golongan atheis perlu mencari jawapan kepada ajaibnya ilmu keghaiban Tuhan yang tunggal yang menjadi boss utama kepada alam ini? Contoh analogi lebih mudah, sedangkan seorang guru silat juga mungkin tidak menurunkan kesemua ilmu persilatan kepada anak didiknya, inikan pula ilmu alam yang dikurniakan Tuhan yang seluas lautan tapi nak dibandingkan dengan sebutir buih di laut oleh golongan atheis? Dengan perkembangan dunia sains, penulisan, kajian, teknologi dan internet, kita didedahkan dengan pelbagai jenis penemuan dan maklumat baru (contohnya berkenaan kejadian alam, asal usul manusia, proses kejadian bayi, pembentukan minyak mentah dalam tanah, pengiraan jangka hayat bumi dan alam dan berbagai-bagai lagi) samada dari sudut pandangan Barat atau pandangan Islam. Jika golongan atheis memilih untuk filosofi 'percaya untuk tidak percaya' mereka berdasarkan kajian-kajian secara saintifik dan dari sudut logik akal semata-mata, pernahkah terfikir oleh golongan atheis ini bahawa sumber-sumber kajian saintifik itu pastinya kebanyakannya dari Barat, tetapi kenapa tidak pula mempersoalkan sejauh mana kebenarannya proses kajian-kajian dan hipotesis dari Barat tersebut? Kenapa tidak pula skeptikal dengan dakwaan proses kejadian manusia berdasarkan teori evolusi Darwin? Kenapa tidak pula ada persoalan tentang sejauh mana benarnya pembentukan minyak mentah dalam tanah adalah berasal dari fosil-fosil dan hidrokarbon semata-mata? Kenapa tiada juga persoalan tentang udara atau angin yang kita sama-sama hirup tetapi tidak kenampakan, tetapi kita boleh pula tetap percaya akan kewujudan udara / angin ini? Kenapa tidak skeptikal terhadap pengiraan matematik untuk mengetahui usia bumi dimana terdapat banyak dakwaan saling bercanggah dari jutaan tahun sehingga ada yang mengatakan ia sebenarnya hanya 9000 tahun? Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi pendapat saya bahawa kebolehan mempercayai kewujudan Tuhan Sekalian Alam sepenuh hati adalah juga satu anugerah ghaib yang sukar dijelaskan, tetapi masih dapat di'rasa'kan oleh seseorang. Tetapi itu bukanlah bermakna golongan atheis sudah tiada langsung harapan lagi. Sebaik-baiknya para atheis yang sedang mencari jawapan, buatlah kajian secara menyeluruh dan adil dari segala aspek samada saintifik dan agama serta bandingkanlah dengan penjelasan dari kacamata Islam (kerana saya menulis atas kapasiti seorang yang beragama iaitu Muslim yang masih perlu terus belajar). Saya merasakan golongan atheis pastinya menghabiskan masa yang banyak untuk mencari jawapan bagi memenuhi persoalan yang mencengkam minda anda dan kita ini sekadar manusia yang hanya terbatas di ruang masa dan dunia ini sahaja. Oleh yang demikian, bagi saya, dari membuang masa mencari jawapan tentang kewujudan tunggal Tuhan yang pastinya tidak terungkai oleh kelogikan akal manusia yang cukup terbatas ini, adalah lebih baik jika kita berlapang dada dan mencari sendiri keredhaan Tuhan sehingga kita sendiri dapat merasa 'kemanisan' dan 'kesedapan' ketika mendapat rahmat Tuhan itu - sekaligus persoalan ketuhanan itu terjawab. Sekali lagi diingatkan, kemanisan dan kesedapan itu pun satu anugerah ghaib yang misteri, hanya yang merasanya sahaja menikmatinya. Inilah pandangan saya. bukanlah untuk menyakiti sesiapa, tetapi sekadar pandangan logik akal saya juga.


No comments:

Post a Comment