Sunday, March 16, 2014

Situasi: Konsert Future Music Festival Asia di Bukit Jalil dan Kematian Para Remaja

Difahamkan adalah satu konsert tertutup dinamakan sebagai Future Music Festival Asia 2014 berlangsung di Bukit Jalil dari 13 Mac hinggalah 15 Mac 2014 dimana konsert selama 3 hari ini diadakan dengan menampilkan lebih dari 70 artis-artis tempatan dan antarabangsa dengan pelbagai genre muzik. Difahamkan juga pihak penganjurnya ialah Livescape Asia dimana pengarahnya ialah Iqbal Ameer (ni nama macam nama Melayu yang kononnya beragama Islam je?). Livescape juga memperkenalkan pelbagai penaja yang menjayakan konsert ini termasuklah juga pembekal minuman alkohol seperti Chivas Regal dan Asahi Super Dry. Semestinya sasaran untuk kehadiran pada konsert ini ialah anak-anak muda tempatan dan luar negara dan juga para pelancong asing memandangkan antara pihak yang menyokong penganjuran konsert ini ialah badan yang bernaung di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

SITUASI

Antara banyak gambar-gambar para remaja (nakpak gayanya ramai muka macam Melayu) yang dipercayai berkaitan dengan konsert ini ialah seperti di bawah:









Yang mendapat perhatian ialah apabila terdapat beberapa remaja tempatan (antaranya disahkan Melayu yang mungkin sepatutnya dilahirkan untuk menjadi umat Islam sejati) telah disahkan mati akibat dari tindakbalas tubuh badan hasil daripada pengambilan dos dadah yang berlebihan - dikatakan gambar terakhir di atas ialah antara mangsa-mangsa kejadian. Tambahan juga ramai lagi yang dikatakan kritikal dan masih dalam rawatan rapi atas punca yang sama - pengambilan dadah berlebihan. Menurut daripada maklumat-maklumat yang diperolehi di laman sesawang lain, ramai penonton konsert ini dibekalkan dengan dadah jenis syabu dan kondom yang pastinya untuk tujuan yang sangat negatif. Kejadian ini pada saya sangatlah memalukan dan mengaibkan Malaysia yang kononnya dikatakan sebuah negara Islam contoh. Tambahan pula ia terjadi ketika negara masih dalam pelbagai kekalutan lain seperti misteri kehilangan MH370 yang belum terungkai, indeks pencemaran udara yang teruk kebelakangan ini akibat masalah jerebu yang tidak menentu, ketidakstabilan dalam sistem politik sejak pilihanraya umum tahun lepas, kenaikan kos kehidupan seperti yang terbaru kenaikan RON97 dan pelbagai lagi kekalutan.

PANDANGAN

Ajal maut di tangan Allah SWT. Tapi soalnya sejauh manakah persediaan kita khususnya si para remaja yang mati tu (yang rasanya ramai Melayu dan kononnya beragama Islam) untuk berhadapan dengan Tuhan Semesta dengan keadaan yang saya fikir amat hina? Bukan urusan saya pun untuk berfikir sebab Allah Taala jualah yang akan menentukannya. Cuma yang dikesalkan ialah kenapa seolah-olah begitu teruk sekali remaja tempatan ini khususnya Melayu-Melayu (mungkin antaranya yang dalam gambar-gambar di atas) yang pergi ke konsert tu dan mengambil syabu dan akhirnya mati begitu sahaja? Soalan ini juga perlu ditujukan kepada para ibu bapa dan pemimpin negara. Buat ibu bapa, pernahkah kita terfikir bagaimana sebenarnya satria-satria Islam zaman dahulu sehingga kini seperti Mas'ad bin Umair, Owais Karni, Salahuddin Al-Aiyubi, Syed Qutb, Hassan Al-Banna, HAMKA dan sangat ramai lagi dididik dan dibesarkan sehingga menjadi seorang perwira untuk agamanya Islam? Apa agaknya makanan yang diberi makan oleh ibu bapa mereka sehingga mereka begitu hebat dan cukup syarat untuk menjadi pejuang agama? Apa agaknya rutin seharian dalam kehidupan mereka sehingga mereka menjadi begitu tersusun, berfikiran tinggi, beraqidah dan iman yang teguh dan seterusnya menjadi pahlawan / satria Islam yang sangat dihormati dan digeruni?

Buat pemimpin negara kira pula, apakah yang sebenarnya berlaku dalam suasana negara kita sehingga konsert-konsert sebegini masih dibenarkan penganjurannya sedangkan kita tahu bahawa para remaja kini lah yang kononnya dikatakan menjadi harapan dan pasukan pelapis untuk menggantikan tampuk pimpinan negara? Mahukah kita memiliki berbondong-bondong remaja yang langsung tidak berkualiti sebegini untuk dipilih (secara sengaja atau tidak) untuk memimpin negara satu masa nanti yang akhirnya membawa kehancuran bukan sahaja kepada ketamadunan bangsa malah kestabilan negara sendiri? Bukankah ia sesuatu yang sangat hina dan memalukan apabila konsert sebegini dianjurkan oleh Livescape dimana pengarahnya sendiri rupa-rupanya orang Melayu juga? Tidakkah kebodohan itu terlalu signifikan?

Buat remaja-remaja sendiri, anda semua sebenarnya menanggung bebanan dan tanggungjawab yang berat kerana segala kecelaruan dalam negara kita yang saya ada sebut di atas berlaku di zaman kita, bukan di zaman bapak-bapak ataupun atuk nenek kita - tapi rupanya zaman kita! Sebagai remaja, sekurang-kurangnya kita belajar bersungguh2 untuk dapat kerja yang bagus dengan gaji yang baik demi kelangsungan hidup dan membantu mereka-mereka yang lain yang memerlukan melalui Zakat. Barulah sekurang-kurangnya nampak sikit sumbangan kita pada negara walaupun bermacam-macam cara lagi boleh dilakukan untuk para remaja menunjukkan contoh yang hebat untuk kestabilan negara kita pada masa hadapan. Kita ni sepatutnya malu lah sikit pada remaja-remaja Islam di kawasan-kawasan lain yang bergolak di serata dunia seperti Palestin, Syria, Checnya, Iran, Iraq, Kashmeer dan sebagainya yang saban hari berungkus lumus mempertahankan keluarga, tanah air dan agama Islam sehingga gugur syahid!! Malah ada kedapatan mayat mereka masih senyum seolah-olah harapan mereka iaitu untuk mati syahid menjadi kenyataan!! Walaupun mereka mungkin tidak begitu terpelajar atas sebab faktor pergolakan dalam negara mereka, tapi kita tak rasa malu ke atas kehebatan fikiran mereka?? Ada remaja yang berumur 15 tahun dah jadi hafiz Al-Quran tapi di negara kita masih ramai sangat remaja antara kita masih lagi bangang-bangang dan berterusan menjadi sangatlah bodoh dengan pergi ke konsert liar FMFA 2014 ini dan mati katak atas faktor yang mengaibkan!! Padahal mungkin belajar pun dulu entah kemana, lepas tu sekarang kerja macam hampeh, gaji ciput tapi masih nak berlagak bergaya untuk show off depan awek-awek (yang ramainya bangang2 dan bodoh bahlol juga) padahal bukan berduit pun, kalau ada duit pun MBF (mak bapak finance) je lagi. Aduhai... Mudah-mudahan kita mampu untuk fikirkan ini semua..










Friday, March 14, 2014

Situasi: MH370 dan Sikap Sebilangan Rakyat Teramai

Sudah kira-kira seminggu pesawat Malaysia Airlines MH370 masih lagi tidak dapat dikesan samada masih di awang-awangan, di atas atau dalam laut, di atas darat, hidup atau mati. Yang ada hanyalah beberapa siri penemuan objek yang dijadikan sandaran atau indikator dengan harapan mendapat jawaban sesegera mungkin.

SITUASI

Tidak kurang juga sikap tidak sabar sebilangan masyarakat Malaysia yang terlalu cepat membuat konklusi ataupun andaian yang tidak cukup berasas dan hanya lebih besandarkan kepada kenyataan-kenyataan yang banyaknya tersebar luas di laman sosial. Itupun hanya sekadar daripada individu-individu yang mengaku "pakcik saya bekerja di MAS", "kawan baik saya bekerja sebagai mejar di Angkatan Tentera Malaysia", "Pak Ngah saya seorang polis" dan sebagainya. Setakat ini yang paling mendapat perhatian sehingga tersebar di media antarabangsa ialah tindakan seseorang yang dikatakan orang penting dalam kerajaan pusat, yang memanggil Tok Bomoh VIP sebagai ikhtiar alternatif untuk mengesan dimana kedudukan MH370 kita. Maka berlakulah ritual di KLIA dan bermulalah episod cerita bomoh-bomoh yang agaknya besar kemungkinan hanya menjadi bahan ketawa segenap pelusuk dunia. Malah terciptanya siri-siri video yang dimuat naik ke internet dengan sedutan lagu dari filem terkenal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berjudul Laksamana Do Re Mi. Saya juga ketawa bila melihat video tersebut. Kini dengarnya Tok Bomoh VIP berkenaan naik berang dengan seorang Menteri atas dasar reputasi yang tercemar.

PANDANGAN

Inilah pentingnya kematangan dan pemikiran yang tinggi yang perlu dibentuk dan dididik dalam masyarakat teramai. Dengan terbentuknya kebijaksanaan ini, maka reaksi daripada kejadian MH370 pastinya bukan sahaja dipandang serius secara global, tapi juga dengan PENUH HORMAT oleh mesyarakat luar negara kerana mereka sedar bahawa rakyat Malaysia ialah masyarakat yang bijak dan berfikiran tinggi.

Tapi malangnya ramai masyarakat kita yang tak jadi begitu, malah lebih kepada menurut kehendak jangka pendek semata dengan mempercayai berbagai-bagai spekulasi di internet sedangkan mereka juga tahu tidak semestinya segala spekulasi-spekulasi itu juga betul - tetapi masih mahu mempercayainya dan menerimanya; malah menyebarkannya lagi di medium laman sosial. Tidak dapat dinafikan juga bahawa terdapat kemungkinan pihak MAS tidak memberi maklumat yang benar-benar tulen sehingga dikatakan terdapat maklumat yang ditarik balik untuk diperbetulkan. Seterusnya menjurus kepada sistem media negara yang bukannya 100% sahih dan benar - terbukti beberapa kali khususnya ketika musim pilihanraya umum. Kejadian MH370 yang amat jarang berlaku sebegini tidak boleh dianggap sebagai alasan negara tidak bersedia apabila ia benar-benar berlaku pada minggu lepas. Dengan ini hari demi hari semakin banyak perkara-perkara yang nampak gayanya tidak lebih dari membuka pekung di dada di mana kelemahan negara secara tidak langsung terdedah dan boleh memberi peluang kepada musuh untuk menyelinap masuk.

Semestinya kita banyak menonton filem-filem dari Barat dan juga negara Asia lain seperti Korea, Jepun dan sebagainya. Mereka banyak menampilkan dalam filem-filem mereka kononnya pimpinan negara mereka bagus, sistem ketenteraan negara mereka canggih dan cekap, tindakan kecemasan (Emergency Respond) dalam negara mereka cekap dan bagus, reaksi mereka terhadap sistem media atau press conference dilakukan dengan cukup bersedia - dan kita banyak menonton filem-filem begini. Apabila kita menolak unsur negatif dalam filem-filem mereka, mengapa pula kita tidak mengambil perkara positif yang diketengahkan dalam filem-filem itu untuk dipraktikan oleh kita? Disinilah perlunya pemikiran yang bijak dan tinggi untuk membezakan yang mana seharusnya kita praktikkan dan yang mana harus kita elak. Jadilah manusia yang berfikiran tinggi dan bijak kerana itu ialah salah satu tuntutan Islam untuk kelangsungan umat Islam sendiri. Sekadar pandangan saya sahaja.