Wednesday, August 2, 2017

Situasi: Antara Pemanduan Berhemat Dan Ego Di Jalanraya


SITUASI

Ketika memandu ke tempat kerja hari ini, seperti biasa jalan ke pusat bandar Kuala Lumpur akan sesak dan banyak kereta. Sedang asyik memandu sambil mendengar lagu Red Hot Chilli Peppers (sebuah kumpulan muzik rock dari Amerika), tiba-tiba ada sebuah kereta Proton Saga BLM ni (nombor pendaftaran disimpan dan dirahsiakan jika diperlukan nanti), pemandunya menukar laluan dengan laju tanpa ada sebarang amaran atau lampu signal.

PANDANGAN

Dah lah tukar laluan tanpa sebarang signal, kemudian tukar laluan dengan laju pula. Di jalan seperti MRR2 yang banyak kereta di waktu pagi orang nak pergi kerja, tindakan sebegitu boleh mengundang kemalangan, bukan sahaja kepada pemandu bahalol Proton Saga BLM itu, tetapi juga kepada saya dan mungkin juga kepada pemandu-pemandu dan penunggang motosikal lain. Tambahan pula saya yang sedang melayan Scar Tissue tadi terus terperanjat. Mujurlah aura persilatan yang dipelajari sebelum ini membentuk ketenangan peribadi dan akhirnya saya terus membrek kereta untuk tujuan memberi ruang kepada pemandu bahalol ni masuk ke laluan yang dikehendakinya. Nasib baik juga tiada kereta lain yang rapat di belakang kereta saya.  Walaubagaimanapun, saya bukanlah sekadar bagi jalan begitu sahaja, saya membrek kereta disertai dengan bunyian hon yang panjang. Kalau kereta boleh bercakap (dalam Bahasa Malaysia ‘pasar’), mungkin apa yang akan diucapkan ialah seperti, “Hoi bahalol, engko nak tukar lane tu baik-baik sikit la bangsat!”.

Dengan bunyian hon yang panjang tadi, pemandu kereta Proton Saga BLM yang kenampakan tersentap hati lalu memperlahankan kereta dan seperti dijangka kelihatan pemandunya mengangkat tangan menunjuk-nunjuk pada saya seraya mulutnya bukak tutup seolah-olah dia sedang berkata, “Lu apaahal?! Lu apahal?!”.  Padahal kejap tadi cara dia memandu kereta bukan main nak laju sangat terkejar-kejar macam bini dah sampai masa nak beranak, bila dapat hon panjang satu kali saya bagi, tiba-tiba boleh pula perlahankan kereta semata-mata tak puas hati. Inilah antara sikap bodoh tipikal ramai pemandu Malaysia (bukanlah semua). Sekali lagi berkat aura persilatan yang dipelajari dahulu perlu digunakan untuk menghadapi situasi kebodohan pemandu-pemandu sebegini. Ketika kereta kami sama-sama perlahankan dan akhirnya bersebelahan di tepi jalan, saya pun menurunkan tingkap kereta dan pemandu bahalol tadi juga menurunkan tingkapnya. Kelihatan isteri kepada pemandu bahalol ini juga ada di sebelah dengan menutup muka, mungkin rasa malu dengan tindakan pemanduan bodoh suaminya. Lebih kurang beginilah percakapan kami (dalam percakapan Bahasa Malaysia ‘pasar’):

Pemandu bahalol: “Bang, yang engko hon panjang-panjang tu apasal? Mentang-mentang pakai kereta mahal nak berlagak ahh?!”

Saya: “Engko ingat engko sorang je nak cepat? Tak malu ke bawak bini engko tapi pandu macam orang gila? Ni takde kena-mengena kereta mahal atau murah, tapi cara engko memandu!”

Mujurlah pemandu bahalol tu nampak macam boleh hadam dan faham apa yang saya katakan dan terus pergi dengan kelajuan yang biasa di jalan yang banyak kereta. Untuk itu, wajarlah saya tukarkan gelaran untuknya dari ‘pemandu bahalol’ kepada ‘pemandu jahil’. Bagi sopan sedikit.


Sebagai pengajaran untuk semua termasuk saya sendiri, memandulah dengan penuh berhemat dan gentleman, tanpa ada rasa jalan tu anda seorang sahaja yang sedang memandu. Wujudkan perasaan prihatin untuk memberi amaran atau lampu signal kerana ia adalah komunikasi penting antara pemandu-pemandu di dalam kereta. Jangan ingat orang lain tahu dan faham apa yang anda fikirkan. Jika anda memang bersalah / tersilap waktu pemanduan, jika anda diberi hon samada hon amaran atau hon panjang, disarankan buat muka ‘cool and rilex’ dan sebaiknya ANGKAT TANGAN sebagai tanda mohon maaf. Tiada keperluan untuk menjadi ego di atas jalan raya kerana jika anda rasa anda gangster kawasan itu, anda takkan tahu jika anda berada dalam situasi yang menemukan anda dengan pemandu lain yang mungkin jauh lebih gangster dari anda. Oleh itu, hormatilah pengguna jalan raya yang lain, semoga cara  pemanduan berhemah anda secara tidak langsung akan menjadi sumber inspirasi kepada pemandu-pemandu yang masih bahalol dan jahil di jalan raya Malaysia ini.  

No comments:

Post a Comment