Friday, March 14, 2014

Situasi: MH370 dan Sikap Sebilangan Rakyat Teramai

Sudah kira-kira seminggu pesawat Malaysia Airlines MH370 masih lagi tidak dapat dikesan samada masih di awang-awangan, di atas atau dalam laut, di atas darat, hidup atau mati. Yang ada hanyalah beberapa siri penemuan objek yang dijadikan sandaran atau indikator dengan harapan mendapat jawaban sesegera mungkin.

SITUASI

Tidak kurang juga sikap tidak sabar sebilangan masyarakat Malaysia yang terlalu cepat membuat konklusi ataupun andaian yang tidak cukup berasas dan hanya lebih besandarkan kepada kenyataan-kenyataan yang banyaknya tersebar luas di laman sosial. Itupun hanya sekadar daripada individu-individu yang mengaku "pakcik saya bekerja di MAS", "kawan baik saya bekerja sebagai mejar di Angkatan Tentera Malaysia", "Pak Ngah saya seorang polis" dan sebagainya. Setakat ini yang paling mendapat perhatian sehingga tersebar di media antarabangsa ialah tindakan seseorang yang dikatakan orang penting dalam kerajaan pusat, yang memanggil Tok Bomoh VIP sebagai ikhtiar alternatif untuk mengesan dimana kedudukan MH370 kita. Maka berlakulah ritual di KLIA dan bermulalah episod cerita bomoh-bomoh yang agaknya besar kemungkinan hanya menjadi bahan ketawa segenap pelusuk dunia. Malah terciptanya siri-siri video yang dimuat naik ke internet dengan sedutan lagu dari filem terkenal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee berjudul Laksamana Do Re Mi. Saya juga ketawa bila melihat video tersebut. Kini dengarnya Tok Bomoh VIP berkenaan naik berang dengan seorang Menteri atas dasar reputasi yang tercemar.

PANDANGAN

Inilah pentingnya kematangan dan pemikiran yang tinggi yang perlu dibentuk dan dididik dalam masyarakat teramai. Dengan terbentuknya kebijaksanaan ini, maka reaksi daripada kejadian MH370 pastinya bukan sahaja dipandang serius secara global, tapi juga dengan PENUH HORMAT oleh mesyarakat luar negara kerana mereka sedar bahawa rakyat Malaysia ialah masyarakat yang bijak dan berfikiran tinggi.

Tapi malangnya ramai masyarakat kita yang tak jadi begitu, malah lebih kepada menurut kehendak jangka pendek semata dengan mempercayai berbagai-bagai spekulasi di internet sedangkan mereka juga tahu tidak semestinya segala spekulasi-spekulasi itu juga betul - tetapi masih mahu mempercayainya dan menerimanya; malah menyebarkannya lagi di medium laman sosial. Tidak dapat dinafikan juga bahawa terdapat kemungkinan pihak MAS tidak memberi maklumat yang benar-benar tulen sehingga dikatakan terdapat maklumat yang ditarik balik untuk diperbetulkan. Seterusnya menjurus kepada sistem media negara yang bukannya 100% sahih dan benar - terbukti beberapa kali khususnya ketika musim pilihanraya umum. Kejadian MH370 yang amat jarang berlaku sebegini tidak boleh dianggap sebagai alasan negara tidak bersedia apabila ia benar-benar berlaku pada minggu lepas. Dengan ini hari demi hari semakin banyak perkara-perkara yang nampak gayanya tidak lebih dari membuka pekung di dada di mana kelemahan negara secara tidak langsung terdedah dan boleh memberi peluang kepada musuh untuk menyelinap masuk.

Semestinya kita banyak menonton filem-filem dari Barat dan juga negara Asia lain seperti Korea, Jepun dan sebagainya. Mereka banyak menampilkan dalam filem-filem mereka kononnya pimpinan negara mereka bagus, sistem ketenteraan negara mereka canggih dan cekap, tindakan kecemasan (Emergency Respond) dalam negara mereka cekap dan bagus, reaksi mereka terhadap sistem media atau press conference dilakukan dengan cukup bersedia - dan kita banyak menonton filem-filem begini. Apabila kita menolak unsur negatif dalam filem-filem mereka, mengapa pula kita tidak mengambil perkara positif yang diketengahkan dalam filem-filem itu untuk dipraktikan oleh kita? Disinilah perlunya pemikiran yang bijak dan tinggi untuk membezakan yang mana seharusnya kita praktikkan dan yang mana harus kita elak. Jadilah manusia yang berfikiran tinggi dan bijak kerana itu ialah salah satu tuntutan Islam untuk kelangsungan umat Islam sendiri. Sekadar pandangan saya sahaja.  

No comments:

Post a Comment